Soalan-soalan Lazim Berkaitan Seksyen 114A Akta Keterangan 2012

1. Apakah itu Seksyen 114 A?

Seksyen 114 A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan terlebih dahulu pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei 2012. Pindaan ini telah diwartakan dan mula berkuatkuasa mulai 31 Julai 2012.

Seksyen 114 A, yang boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.

2. Apakah tujuan asal pindaan ini diperkenalkan?

Tujuan asal pindaan ini adalah untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet.

Bagi pihak berkuasa, proses menjejaki dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam penyiaran atau penyebaran bahan berunsur hasutan di internet merupakan sesuatu yang sukar. Individu tersebut dengan mudah mengambil kesempatan menyembunyikan identiti mereka di internet kerana kesukaran pihak berkuasa mengawal internet yang luas dan terbuka. Penyembunyian identiti juga menggalakkan rakyat menyatakan pendapat tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak. Selain itu, oleh sebab maklumat mudah berpindah dari satu pihak ke pihak yang lain, pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk mengesan individu asal yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tersebut.

3. Apakah kekurangan yang ada pada Seksyen 114A?

Pindaan ini jelas mengandaikan kesalahan terletak pada individu yang identitinya diguna pakai dalam penyiaran atau penyebaran maklumat berbentuk hasutan tanpa mengambil kira faktor seperti kecurian identiti dan penggodaman komputer. Kesalahan juga terletak pada pihak yang menyediakan ruangan komen pada blog, forum dan pengendali laman web walaupun maklumat tersebut disiarkan oleh pihak lain.

Pelaksanaan pindaan baru ini boleh mengakibatkan pihak yang tidak terlibat menjadi mangsa. Pindaan ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan seseorang tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan.

Selain itu, undang-undang yang diperkenalkan ini tidak akan dapat memerangi jenayah siber dengan berkesan kerana pindaan ini secara tidak langsung melindungi penjenayah siber dengan meletakkan kesalahan ke atas mangsa mereka yang komputer atau akaun Facebook dan Twitternya digodam.

4. Apakah implikasi pindaan ini terhadap individu?

Pelaksanaan Seksyen 114 A mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna internet yang meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan berunsur hasutan tersiar. Di bawah Seksyen 114 A, individu atau organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum, blog atau perkhidmatan pengehosan web adalah bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit. Mereka juga bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain yang menyamar menggunakan identiti mereka di internet. Hasilnya, Seksyen ini mengancam kebebasan bersuara di internet, serta mengancam prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

5. Apakah implikasi pindaan ini terhadap ekonomi negara?

Pada tahun 2010, sektor internet menyumbang 4.1% (30 billion) kepada KDNK Malaysia – angka yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara maju yang mana sektor internetnya menyumbang kira-kira 3.4% KDNK mereka[1]. Ekonomi berasaskan internet di negara ini bercambah dengan pesat hasil daripada kebebasan berinternet yang dinikmati para pengguna perkhidmatan tersebut. Kejayaan perniagaan-perniagaan internet juga berkait rapat dengan kebolehan pengguna-pengguna internet mencipta, mencari serta berkongsi maklumat.

Populariti rangkaian laman sosial juga mendorong perniagaan-perniagaan untuk membangunkan strategi pemasaran yang berinovatif serta mampu menjana kemajuan ekonomi. Facebook dan Twitter juga membantu perniagaan mempromosikan produk mereka. Selain itu peniaga juga dapat meningkatkan mutu produk hasil daripada maklum balas pembeli melalui laman sosial tersebut. Oleh itu, kemajuan ekonomi berasaskan internet bergangtung kepada inisiatif yang mampu menggalakkan penggunaan internet dan bukannya langkah yang membantutkan.

Seksyen 114 A menghalang penggunaan dan penghasilan maklumat di internet. Oleh sebab pindaan tersebut meletakkan beban membuktikan kesalahan di bahu pemilik sesebuah laman web atau peralatan, penghasilan dan perkongsian maklumat di internet akan terbantut akibat ketakutan dan risiko didakwa. Hasilnya, pindaan yang baru ini akan menjejaskan perniagaan-perniagaan kecil mahupun besar yang bergantung pada penglibatan pengguna-pengguna internet.

6. Mengapa kebebasan bersuara di internet perlu dipertahankan?

Perkongsian maklumat yang bebas dan terbuka merupakan asas bagi sebuah sistem demokrasi yang kukuh. Hal ini memastikan rakyat sentiasa dibekalkan dengan maklumat yang tepat supaya mereka dapat memainkan peranan yang aktif dalam proses demokrasi di negara ini. Internet yang mampu mempercepatkan proses penyampaian maklumat berkemampuan untuk melancarkan proses demokrasi. Justeru, rakyat perlu menggunakan hak bersuara mereka tidak kira dalam apa jua bentuk termasuk di internet. Suara rakyat perlu didengar. Oleh itu, jika Seksyen 114 A yang baru ini dilaksanakan, prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara rakyat akan terjejas teruk.

7. Pihak mana yang menentang Seksyen 114A?

Pada 31 Mei 2012, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) melancarkan satu e-petisyen untuk mendapatkan sokongan kepada kempen untuk menghentikan pindaan ini daripada diwartakan. Dalam masa sebulan, lebih daripada 3300 individu menandatangani petisyen tersebut untuk menyatakan tentangan mereka terhadap pindaan tersebut. Dalam kalangan mereka yang berbuat demikian termasuklah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, pengarah filem terkenal Pete Teo, penulis and personaliti radio Patrick Teoh, aktivis sosial Marina Mahathir dan Dr. Irene Fernandez, dan ahli akademik ternama seperti Dr. Azmi Sharom dan Dr. Mustafa K. Anuar.

Selain itu, ahli-ahli parlimen dari Barisan Nasional turut menyatakan ketidaksenangan mereka dengan pindaan tersebut. Khairy Jamaluddin menyifatkan bahawa beban membuktikan kesalahan perlu sentiasa terletak pada pihak pendakwa[2]. Datuk Saifuddin Abdullah pula berpendapat bahawa pindaan tersebut perlu ditarik semula[3].

Pada 28 Jun 2012, Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan untuk menyarankan pihak kerajaan menarik semula Seksyen 114A tersebut. Kenyataan terbabit ditandatangani oleh Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan, dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad[4].


[1] Joseph Chin, “McKinsey, Google: Internet contributed RM30 bn of Malaysia’s GDP in 2010”, The Edge Malaysia, 01 February 2012, online at: http://www.theedgemalaysia.com/index.php?option=com_content&task=view&id=200283&Itemid=88

[2] Leven Woon, “Youth chief wants Evidence Act changes revoked”, Malaysiakini, 16 June 2012, online at: http://www.malaysiakini.com/news/201025

3 “Saifuddin: Move should be revoked”, The Malay Mail, 4 July 2012, print.

4 Teoh El Sen, “Pakatan seeks to halt new Evidence Act”, Free Malaysia Today, 28 June 2012, online at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/28/pakatan-seeks-to-halt-new-evidence-act/

Advertisements